Sunday, December 29, 2013

Anugerah..

Tidak ada keajaiban pada muka manusia. Sama sahaja. Kesemua mereka mempunyai hanya satu lapisan peluang dalam segala-galanya. Tidak dua dan tidak tiga. Apa dia lapisan yang satu itu? Mudah. Kalau tidak hidup, mati. Tidak mengira pangkat dan darjat. Tidak mengira muda dan tua. Tidak mengira lelaki dan perempuan. Tidak mengira bodoh dan cerdik. Sama sahaja. Tidak mengira tempat dan masa.

Tetapi malang sekali, ramai telah dirosakkan dengan palitan pengaruh duniawi yang tidak henti henti asakan nya. Yang satu lapisan itu telah menjadi ribuan kepuraan dan kepalsuan. Firaun bermegah dengan binaan piramid melambangkan pangkat dan darjat. Apakah ia berpanjangan? Hidup tetap dengan noktahnya, mati.

Tidak terkecuali dengan kisah kisah di zaman ini. Ada saat dan ketika, saya juga tidak terkecuali dari menjadi mangsa pengaruh itu. Ada kala saya meragui sesuatu di atas dasar palitan pengaruh duniawi yang bukan bukan. Sedangkan dengan jelas segala gala yang tercipta adalah anugerah dari Allah.

Apa tidakkah disedari saya masih hidup, bernafas dan masih lagi bernyawa dan dapat lagi menulis sesuatu di pagi Ahad ini? Adakah ianya satu anugerah? Janganlah berhenti mengucapkan banyak kesyukuran kepada Allah. Mengapa perlu kita berdusta? Semoga kita sentiasa dalam PerlindunganNYA.


ALLAHUAKBAR.

No comments: