Wednesday, August 27, 2008

Keluhan seorang yang tidak difahami...


Hari ini adalah hari terakhir Johari di akademi ini. Sudah tiga tahun dia berada di sini untuk melengkapkan diri dengan berbagai perasaan, emosi, dan pengetahuan yang berguna bagi persediaan menghadapi hidup di luar sana. Tapi sayang seribu kali sayang, ada yang mengatakan bahawa Johari ini adalah seorang yang susah hendak difahami. Mengapa? Dengan tulisan ini diharap kita dapat mencari jalan menyelesaikan masalah yang dirasa oleh Johari ini.

Johari tidaklah bersendirian dalam melalui kehidupan sosial yang begini. Di merata cerok dunia, baik di kampung mahupun di bandar, baik di Malaysia mahupun di negara lain, senario sosial seseorang dengan orang lain adalah lumrah. Yang menjadi masalah apabila kita sendiri menganggap nya satu ciri yang negatif. Ada yang mengangap bersendirian ini adalah satu kebiasaan dan tidak perlu risau. Tetapi kepada yang tidak mempunyai hati perut pula, dia akan merasakan lebih bermartabat lagi sekiranya dia tidak difahami. Maka berterusanlah hidup dia dengan keegoaan dia.

Marilah kita melihatnya dari sudut pembinaan diri yang mana perasaan negatif atau positif ini boleh disedari dan apabila itu berlaku maka terbongkar rahsia diri dan masalah kita tadi.

Saya berpegang kepada prinsip 1/99. Pasarana minda dan pemikiran seseorang memanglah susah dikongsi bersama. Perkongsiaan atau keserasian 100% bagi dua insan adalah satu senario yang mustahil. Saya sentiasa mengandaikan bahawa apabila berjumpa atau terjumpa dengan orang lain, kenal atau tidak, hanya satu peratus persepsi yang aktif yang mana samada kita atau dia dapat dimengerti atau difahami. Lantas 99% set yang lain akan terus hidup dalam dunia persembunyiannya atau alam `buniannya.' Jika kita tidak berbuat apa apa, anjakkan kesedaran terhadap orang lain atau kesedaran orang lain terhadap kita akan tidak berlaku. Yang tersembunyi itu bukanlah persepsi tetapi realiti diri kita yang sebenarnya. Realiti diri ini puncanya orang lain tidak memahami kita mungkin disebabkan perasaan yang tidak menentu berlaku kalau realiti diri kita diketahui umum. Adakah kita selesa dengan keadaan itu?

Bagi para intelektual atau seorang profesional, realiti diri adalah satu aspek kesedaran yang perlu diurus dengan bijaknya. Dengan adanya kesedaran ilmu terhadap keberkesanan satu satu bidang itu, terdapat realiti diri yang tidak seharusnya disembunyikan kerana kalau ianya berterusan, sampai bila bila pun persoalan yang sedang diusahakan penyelesaiannya akan terus tidak difahami.

Bidang pemasaran banyak memperkatakan perkara bersabit dengan aspek dalaman seseorang pelanggan itu. Sebagai seorang profesional dan pengurus yang bijak, kita jangan membiarkan pelanggan dengan alam fantasinya tanpa kita mengetahui apa yang sebenarnya yang tersembunyi.Lantas usaha patut diperlipat gandakan bagi mencungkil aspek realiti diri dalaman pelanggan ini bagi mengetahui apa sebenarnya yang dapat merangsang dia untuk membeli apa yang dijual. Kita hanya melihat pelanggan tadi dari persepsi yang aktif dan umum ciri dan sifatnya. Untuk berjaya, itu tidak mencukupi untuk dijadikan bahan untuk mengenal dia dengan lebih mendalam lagi. Jika elemen realiti dalaman diri adalah faktor penentu yang utama kepada pembelian, maka usaha patut dicari bagi mengatasi masalah yang dianggap rumit ini. Dengan berbekal teori pemasaran yang sememangnya teruji keberkesanannya, segala masalah akan akhirnya terlerai juga.

Berbalik kepada persoalan Johari yang sukar difahami, tidaklah merupakan masalah yang besar mana dan menyebabkan hidup kita tidak berketentuan arah. Kesemua itu adalah lumrah yang boleh dianggap pusat kepada usaha manusia mengejar kemajuan dalam apa jua bidang. Justeru, ia akan membawa kita kepada tahap pengetahuan yang mana akhirnya dapat menguasai rahsia bidang yang diceburi. Ingatlah: hidup yang berbagai dan cabaran yang berbagai adalah realiti pentas dunia yang sememangnya begitu. Take the challenge!

No comments: