Monday, November 17, 2008

Ekonomi (2)..kampong yang indah dan terdapat segala-galanya

Dulu boleh dikatakan kampong tu Melayu dan Melayu tu kampong. Orang Melayu kalau keluar dari kampong kerana sebab sesuatu diibaratkan seperti dah lari dari kampong. Dan kalau ada yang balik setahun sekali tu seperti telah melanggar `perlembagaan' kampong dan dianggap telah melupai kampong halaman mereka. Mungkin ada terdengar `tempat jatuh lagi dikenang, ini kan pulak tempat bermain.' Ungkapan itu ditujukan kepada orang Melayu yang merindui kampong dan berusaha hendak balik ke kampong asalnya.Bab keluar dari kampong dan merantau jauh ke negeri orang tidak merupakan tabiat kepada orang Melayu pada satu ketika dulu. Kalau yang ada itu, mungkin kerana berjauh hati, merajuk, atau kekasih dikahwinkan kepada orang lain yang lebih berada.

Ada sebab dan alasan yang boleh diketengahkan kenapa tabiat itu telah bertunjang begitu rupa. Kehidupan di kampong adalah kehidupan yang selesa dari segi asas kehidupan. Buat apa pergi jauh kalau di kampong kedapatan segala galanya. Aneka buah buahan tanpa beli terdapat di kampong. Ayam, itik, dan daging senang diperoplehi. Aneka lauk pauk dan sayur sayuran sangat senang diperolehi kerana setiap rumah ada menanamnya. Maafkan saya kalau saya mengatakan kalau nak dapat kekasih pun tidak juga merupakan masalah. Juga kalau hendak merasa nikmat hiburan dan perkara bersabit pakai memakai, ada yang ke bandar berdekatan pergi pagi dan pulang petang. Ada yang pulang malam atau pagi. mengapa ye..?

Nilai nilai ekonomi moden tidak tertanam kepada orang kampong. Istilah bandar adalah merupakan istilah yang misteri bagi mereka. Mungkin bagi yang ada tanah dan mengusahakan kebun getah sikit, mereka ini dianggap `elit kampong' dan akan dihormati kerana `kekayaan' mereka dan selalunya jadi bahan gosip orang kampong yang lain kerana taraf sosial mereka yang sikit lebih tinggi.

Begitulah kampong oh kampong. Nilai hidup mereka bukan berteraskan nilai ekonomi yang boleh membuat seseorang tu kaya raya. Seronok juga hidup yang begitu, bebas dari stress yang berpunca dari aktiviti ekonomi.

Tetapi apakah faktor yang akhirnya mengubah nilai hidup mereka sehinggakan kampong hanya dijengok pada cuti hari raya sahaja?


bersambung...

No comments: