Al-Quran, kitab yang diturunkan kepada umat manusia adalah bertujuan sebagai rujukan agong dalam segala hal kehidupan di dunia dan diakhirat. Sebagai seorang manusia yang dikeluarkan dari perut ibu pada saat yang sudah ditentukan, dan hinggalah ke hari dan saat ini, perjalanan dan peristiwa yang dilalui adalah bukti-bukti yang mengarahkan kepada kebesaran Allah.
Dalam hidup, kita akan berdepan dengan peristiwa, pahit dan manis, suka dan duka, dan akhirnya bertemu dengan satu rasa kefahaman yang unik dan indah sekali, juga mengarahkan kepada kebesaran Allah.
Segala-galanya, malam dan siang, sejuk dan panas, salji dan hujan, ledakan angin dan laut, gunung berapi dan gempa bumi, tahun dan bulan, bulan dan minggu, minggu dan hari, hari dan waktu, waktu dan minit, minit dan saat ini, siapa kita, dan mengapa kejadian kita, kesemua jawapan akan mengarahkan kepada kebesaran Allah.
Segala-galanya, langit, bintang, bulan, matahari, planet-planet dan bumi dunia, dan sehinggalah kepada kehidupan dihutan dan belantara, lautan dan daratan, gunung dan ganang, bukit dan sungai, negara, negeri, kampong dan bandar dan rumah yang didiami disaat ini adalah merupakan talian kehidupan dan rahsianya, membuat kita tersentak dengan tujuanNya dan kebesaranNya.
Dan apa yang membuat kita berfikir, membaca, bertanya, dan menulis, juga datangnya dari perhubungan kita dengan manusia lain dalam kehidupan yang memerlukan antara satu dengan yang lain, kerana ruang waktu dan masa yang singkat dan terhad jika kita sendiri membuat dan melakukannya. Dari kecil hingga dewasa, peranan peranan individu dan kumpulan tertentu dalam usaha memenuhi keperluan fizikal dan mental seperti membina sahsiah diri, kebolehan, kesihatan, dan pemikiran, kesemua itu tidak dapat diketepikan begitu sahaja.
Dan dalam hubungan yang terdekat, ibu bapa, adik beradik, sanak saudara, isteri dan anak, anak dan keluarga mereka, kesemua merupakan bahan yang mana jika ditenung dan direnung, kita akan sujud kepada Allah Yang Maha Besar, Pengasih dan Penyayang, Pencipta kepada Segala-galanya.
No comments:
Post a Comment