Apa jua bersabit dengan diri kita adalah sindrom. Janganlah kita terlalu ketat tentang pengertian perkataan `sindrom' ini. Kalau begitulah maka dalam proses mengembangkan pengetahuan kita, kita akan tidak dapat terbang jauh.
Belum apa apa dah kata tak faham. Itu maknanya kita dilanda sindrom tidak faham. Habiskan dulu baca maka barulah buat rumusan faham ke atau tidak faham. kalau tak faham juga maka itu dikatakan sindrom takut menganalisa apa yang dibaca kerana sindrom takut dengan istilah analisa yang disebut tadi. Kalau tak ada konfiden dengan pengertian sendiri siapa lagi yang boleh menolong anda dalam memahami sesuatu? Anda yang membaca, anda yang menganalisa, dan sudah pasti anda yang faham. Kefahaman kepada setiap orang adalah pelbagai dan berbeza.Mungkin ada yang mengatakan bahawa apa yang ditulis ini terlalu tinggi buat aku.Percayalah tak ada apa yang tertulis itu terlalu tinggi atau terlalu rendah untuk sesiapa. Yang tinggi atau rendah itu bukan tulisan, tetapi sindrom otak kita yang membezakan benda dengan anggapan yang bukan-bukan.
Pagi ini saya berkesempatan menanyakan soalan kepada beberapa pelajar. Saya bertanyakan jam berapa mereka tidor. Ada dua pelajar yang berkawan baik menjawab `pukul satu' begitu juga yang satu lagi menjawab `pukul satu.' Saya pun mencelah, hai! dua dua pukul satu, baiknya punya kawan.' Maka bertanyalah lagi saya kepada dua lagi pelajar. Yang satu menjawab `satu setengah lebih'. Dan saya merasakan kepada seorang lagi yang hendak saya tanya selepas itu akan berusaha tidak menampakkan jawapan yang sama takut ditegur oleh saya pula. Saya pun bertanya, `pukul berapa awak tidor?' lantas dia menjawab `pukul dua setengah lebih.' Saya pun mencelah lagi. `hai ada `lebih' juga di hujung jawapan itu?' Pelajar yang lain pun ketawa dengan spontan kerana menampakkan persamaan dengan menyebut perkataan `lebih.' Inilah yang dinamakan `sindrom berkawan' yang menyebabkan jawapan itu tak nampak istimewanya atau tak nampak kreatif.
Saya pun bukalah cerita yang boleh menjadikan soalan yang `simple' itu jawapannya boleh menggambarkan personaliti kita, tak kiralah sama ada kita temberang atau tidak asalkan jawapan itu membuat kita lebih `credible' atau disanjung oleh yang mendengarnya.
Sindrom `malas berfikir' ini memang lumrah dikalangan pelajar pelajar kita hari ini. Saya bolehlah mengambil contoh dari cerita tadi apabila saya bertanyakan jam berapa pelajar tidur. Kepada yang kreatif akan menjawab `saya tidur jam 2.00 pagi selepas saya menghabiskan bab terakhir buku pengurusan.' Kan sedap didengar jawapan tersebut. Nampaklah sikit wibawa pelajar tersebut. Atau bagi pelajar kursus astronomy pula, `saya tidur jam 2 pagi selepas meneropong bintang bintang dilangit. Walaupun malam tu agak gelap tapi terdapat juga taburan bintang di sana sini.'
Istilah sindrom sebenarnya diperluaskan kepada persoalan kehidupan yang lain. Contoh-contoh nya seperti `sindrom kekal' yang mana kita selalu tidak bersedia dengan perubahan yang mungkin terjadi esok. Jelas agama Islam mengajar kita tidak ada yang kekal dalam dunia ini. Walaupun kita faham tapi `sindrom tak bersedia' merupakan lumrah kepada ramai orang. Banyak lagi boleh diberi contoh antaranya: sindrom cantik kepada yang merasakan mereka cantik; sindrom kaya raya yang mana mereka akan mengecap kekayaan itu buat selama-lamanya. Sindrom kemalangan tak akan menimpa kita pun merupakan sindrom yang selalu diperkatakan oleh orang tidak hendak mengambil perlindungan insuran.
Kepada yang suka merantau dan sudah tempoh suka duka dalam perjalanan tersebut akan dapat terkeluar dari kepompong sindrom yang rapuh itu. Begitu juga bagi mereka yang selalu suka mendengar ceramah agama akan dapat mengahadapi kehidupan dengan lebih bertanggungjawab baik dalam perbuatan atau perkataan.
Jangan sama sekali `sindrom hari esok masih ada' menguasai perjalanan fikir dan buat kita. Yang sebenarnya `sindrom' hidup dalam kepompong yang rapuh. Ianya akan runtuh dengan hanya mengatakan `ia' kepada perkara yang selalu kita kata `tidak.' Atau `senyumlah' kepada perkara yang selama ini anda bermasam muka apabila menghadapinya.
Tulisan ini tidaklah diasaskan kepada kajian yang saintifik. Ianya ditulis sekadar membuang sindrom yang mengatakan menulis ini hanya untuk orang orang tertentu sahaja. Saya juga adakala terikat dengan sindrom ini dan itu. Tetapi dengan menulis, sindrom ini dan itu telerailah sudah lantas membawa saya kepada kesedaran dan keinsafan yang selama ini sememangnya tercari-cari.
No comments:
Post a Comment